Saturday, April 5, 2008
HOME STAY
“Homestay” bermaksud tinggal di sesebuah rumah sebagaimana adanya. Sesetengah orang memanggilnya “bed and breakfast”.
Program homestay di Parit Bugis ini telah bermula sejak tahun 1978 lagi. Pada masa tersebut hanya 3 buah rumah sahaja yang mengendalikan program ini namun ianya lebih tertumpu kepada pelancong-pelancong Singapura yang sering bertandang ke kampung ini untuk melawat saudara mereka yang tinggal di sini.
Sejak 2003, pihak kerajaan telah memandang serius tentang program homestay sebagai satu tarikan pelancong dan ianya juga satu punca pendapatan. Seramai 70 orang penduduk kampung ini telah dihantar berkursus khas di negeri Kedah dan Trengganu cara-cara untuk mengendalikan pelancong dan menambahbaik prasarana untuk menerima pelancong.
Pada 23-25 Disember 2005, kampung kami telah mendapat kunjungan 44 orang peserta dari Felda Bukit Kuantan, Pahang sebagai percubaan program homestay secara berskala besar. Dengan kelebihan dan tarikan pelbagai kegiatan kesenian, industri kraftangan, makanan ringan serta program pertanian moden yang sedang kami jalankan, sambutan terhadap program homestay ini diluar jangkaan dan mendapat permintaan yang luas dan berterusan.
Dalam program-program homestay yang melibatkan pelancong yang ramai, kami cuba mengaturkan penglibatan langsung pelancong dengan kegiatan seharian kami. Ini termasuklah mengundang mereka ke majlis perkahwinan, kenduri potong jambul (menamakan bayi), berkhatan, kenduri arwah, korban, aqiqah dan majlis keramaian yang lainnya yang kebetulan diadakan semasa pelancong menginap di kampung kami.
Mungkin bagi pelancong dari kota besar tidak pernah merasai suasana sebenar kenduri di kampung, apatah lagi menikmati “Nasi Ambeng” atau "Ayam Ingkung" yang dihidangkan mengikut adat resam orang Jawa. Makanan tradisi kami juga tak kurang hebatnya, cubalah mee bandung, sau to, rojak petis, asam pedas, ikan bakar, tempe goreng, nasi beriyani gam di warung-warung sekitar Parit Bugis.
Apakata kalau anda mencubanya sendiri di Parit Bugis.
Subscribe to:
Posts (Atom)